Monday, November 26, 2012

Sunday, November 4, 2012

Saturday, October 13, 2012

TAMADUN ISLAM DAN ASIA

Para pelajar yang disayangi, sekiranya anda mentafsir perkataan tamadun, janganlah kamu terikat pada sejarah sahaja. Hakikatnya tamadun lebih merujuk kepada pembangunan, kemajuan, teknologi, perubahan dan sebagainya. Namun tamadun tidak boleh dipisahkan dengan sejarah, kerana tanpa sejarah tiadalah pembangunan. Untuk mencipta sesuatu pasti ada asasnya. Sejarahlah asasnya. Ilmu pengetahuan pokok utamanya. Maka pengajian tamadun itu penting untuk meneruskan proses kemajuan mahupun pembangunan. Di masa akan datang tamadun itu sendiri akan mencipta sejarah untuk panduan generasi akan datang.

Tamadun itu adalah pembangunan yang seimbang antara keperluan rohani dan jasmani, spiritual dan material, jiwa dan fizikal, duniawi dan ukhrawi. Agama, nilai-nilai murni, akhlak, moral dan etika memimpin tindakan yang rasional, yang sentiasa membawa kebaikan. Tanpa agama atau kepercayaan atau kerohanian akan sesatlah konsep ketamadunan.... Lihatlah hari ini, manusia yang membina tamadunnya atas dasar materialistik, gagal mengecapi kehidupan yang aman dalam tempoh yang lama. Alam sekitar kotor, kepupusan haiwan, penyakit berjangkit, keruntuhan moral berlaku di mana-mana.... Apakah ini kualiti hidup yang kita kehendaki? Ingatlah setiap tindakan fikirkan dahulu nilai-nilai murni kita, agama kita, budaya kita, tradisi kita. Mana nilai kemanusiaannya.

Ibnu Khaldun dalam teori kitarannya, menyebutkan manusia pada awalnya dalam keadaan assabiyah, iaitu berpuak-puak, tiada perpaduan. Pada zaman Jahiliyah manusia hidup dalam kegelapan, masalah moral dan keruntuhan moral berlaku di mana-mana. Peringkat kedua, zaman kegemilangan, dikecapi apabila Islam berjaya disebarkan ke pelusuk dunia. Madinah bandar Islam yang maju, menyatupadukan rakyat berbilang kaum. Zaman khalifah Arrasyidin, Bani Umayyah, Abbasiyyah hinggalah Uthmaniyah. Lahir tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang disegani. Namun hari ini, peringkat ketiga, manusia hilang pertimbangan kerana lupa akan tuntutan agama, lupa nilai-nilai murni. Keruntuhan moral dan akhlak lagi sekali berlaku. Wahai generasi hari ini, baliklah ke pangkal jalan, dalam mengejar cita-cita murni negara bangsa yang maju, dalam meniti dunia teknologi yang canggih, janganlah lupa asal usul kamu, agama kamu, nilai sejagat kita.

Ayat pertama di dalam Al Quran... Iqra'... Read... Bacalah... Maka tuntutlah ilmu untuk keperluan membentuk tamadun yang baik. Kajilah segala yang ada di muka bumi ini. Gunakan ia di landasan yang benar.